Saturday 14 March 2015

AKU DAN 1B3K BAB 2

BAB 2

“Tak nak!  Kau faham tak, aku kata tak nak?”  Aku goyang-goyangkan tangan betul-betul di hadapan muka Thia.  Kalau masih tidak faham juga, tidak tahulah aku apa lagi hendak dikatakan.  Dari tadi aku sudah berhujah kenapa cadangan Thia dan Naani tidak boleh aku terima.

            “Tolonglah Fin.  Kau saja harapan kami.  Kau tak kesiankan kami ke?”

            “Ini bukan soal kesian Thia.  Aku tau selama ni Naani banyak tolong aku.  Tapi pertolongan yang kau orang minta ni terlalu payah untuk aku buat.  Ini kerja gila!”

            “Apa yang gilanya?  Aku suruh kau jadi PA bos, bukan suruh kahwin dengan dia!  Lagi pun sementara saja.”  Akhirnya Naani yang sedari tadi hanya mendengar dan memerhatikan Thia memujuk aku hilang sabar. 

            “Wei, baik kau suruh aku jadi mak guard.  Aku lagi sanggup jadi mak guard, screen orang yang nak masuk bangunan ni, daripada menguruskan anak Datin yang bengkeng dan kerek tu!”

            “Alah Fin, tolonglah.  Sebulan saja.  Kerjanya lebih kurang macam kerja Azwan saja, tak susah.”  Kata Thia. 

            Aku rasa hendak telan Thia hidup-hidup.  Senanglah dia cakap, kerja tu senang.  Cuba dia duduk di tempat Naani, larat ke tidak dengar si bengkeng tu bertempek.  Tiba angin kerek dia pulak, orang tegur dia buat tidak dengar, orang senyum dia buat tidak nampak.

            Jeda.  Kami bertiga melayan perasaan masing-masing.  Aku simpati terhadap Naani, tapi tidak masuk akal langsung cadangan dia.  Naani cadangkan aku jadi pembantu peribadi Bos 1B3K sementara dia cuti.  Kalau tempoh sementara itu dua hari, bolehlah aku buat.  Ini sebulan!  Ish tak sanggup aku. 

            “Fin, tolonglah.”  Suara Thia ada nada merayu.  Muka Thia ada riak minta simpati.

            “Ha ah Fin, tolonglah kami.  Kau tak kesian kat kita orang ke?  Majlis kita orang dah tak boleh tunda, tinggal dua minggu saja lagi.”  Naani pula merayu. Bila dua orang sahabat karib, yang sudah kenal aku bertahun-tahun, merayu depan aku, serba salah aku dibuatnya. 

            Aku pandang Thia, lepas tu pandang Naani.  Dia orang berdua, lebih-lebih lagi Naani, memang banyak tolong aku.  Masa ada masalah dengan Rasydan Miang, Naani menyamar jadi kekasih aku supaya lelaki miang itu berhenti mengorat aku.  Masa aku tolak pinangan Pejal pun Naani juga jadi kekasih tiruan.  Aku pandang Thia semula.  Mata Thia pejam, mulutnya terkumat kamit. 
           
Aku hela nafas dalam-dalam, biar penuh oksigen dalam paru-paru.  Lepas tu aku garu kepala yang tak gatal.  Mata aku berkalih dari Thia ke Naani, ke Thia semula dan akhirnya ke Naani lagi.  Mereka berdua tayang muka sedih.



“Mummy, Qi dah besar!  Qi tau apa yang Qi buat.  As long as I come to the office and help you, you should stay out of my personal business.”

            Jatuh dagu aku bila aku dengar dia bercakap begitu kepada Datin Nuridah.  Kurang ajarnya dia.  Aku rasa hendak pergi tampar mulut dia.  Aku memang pantang kalau orang kurang ajar dengan ibu bapa sendiri.  Emak dan abah didik aku, kalau marah sekali pun jangan sampai bercakap ikut sedap mulut.  Jadinya, walau pun aku becok seingat aku belum pernah lagi aku bercakap dengan kasar kepada emak, abah, along dan kak ngah.  Paling kuat pun dengan Rasydan Miang saja aku pernah berkurang ajar sikit.  Itu pun sebab sudah terpaksa sangat. 

            Naani buat muka selamba badak.  Dia masih tekun membaca dan menggariskan dengan highlighter kuning apa-apa yang perlu dia gariskan.  Entah laporan apa yang dia baca tu, sikit pun dia tidak terkesan dengan suara Bos 1B3K yang lantang sampai aku boleh dengar walaupun pintu pejabat Datin Nuridah tertutup rapat.

            “Berapa kali Qi nak cakap, apa yang keluar tu tak betul?  I never said to anyone she’s my girlfriend.  We were just having fun, ada orang ambil gambar dan tau-tau keluar cerita tu dalam internet.  Dan lagi sekali Qi nak cakap, Qi tak minum.  Tolonglah mummy, I am not a kid anymore!”

            Ish, dia tengking emak dia lagi.  Berasap telinga aku bila orang bercakap dengan suara tinggi kepada emak sendiri.  Dia tidak pernah dengar ke syurga tu bawah tapak kaki ibu?  Suara Datin Nuridah dari tadi aku tidak dengar.  Pastinya Datin yang lemah lembut itu bercakap dengan suara perlahan dan lembut.  Aku pandang ke arah Naani yang masih tekun membaca.

            “Wei, apa kes tu?  Ada gosip baru kat internet ke?”

            “Ha ah.”  Itu saja jawapan Naani.  Nampak macam dia sibuk sangat.  Dia ambil sehelai kertas A4 dari meja sisi dan hulurkan kepada aku. 

            MITILDA BAKAL KAHWINI CEO.  Terpampang tajuk artikel yang keluar di blog rotibakar.com.  Bebola mata aku pantas bergerak ke kiri dan kanan, mengikuti setiap baris perkataan yang terpamer di atas kertas.  Selepas habis baca artikel itu, aku tengok pula tiga gambar yang terpampang.

            Kalau aku jadi Datin Nuridah pun, aku akan rasa malu, sedih dan marah.  Menurut artikel itu, Mitilda, pelakon yang sedang menjadi rebutan produser sekarang mengaku sudah enam bulan bercinta dengan bos 1B3K.  Katanya lagi  mereka berkenalan di London dan  hubungan mereka direstui oleh ibu bapanya. 

            Itu bab cerita.  Bab gambar pun boleh menyesakkan dada seorang ibu.  Dalam gambar yang pertama, pakaian Mitilda tidak cukup panjang di atas dan tidak cukup labuh di bawah.  Dia sedang memaut leher bos 1B3K sambil memegang sebiji botol.  Dua orang perempuan yang ada dalam gambar yang satu lagi, mengapit Mitilda di kiri dan kanan juga sangat seksi pakaian mereka.  Dalam gambar ketiga pula mereka semua sedang duduk dan di hadapan mereka botol-botol tersusun di atas meja.  Bos 1B3K memang sahlah nampak kacak dalam kesemua gambar-gambar tu.  Tapi apa guna muka  kacak kalau akhlak hancur. 

            Baru saja aku hendak serahkan semula kertas A4 kepada Naani, pintu bilik Datin dibuka dengan kasar.  Bos 1B3K keluar dengan muka masam mencuka.  Orang yang ada penyakit gastrik boleh jadi lebih teruk penyakitnya kalau nampak muka berasid Bos 1B3K.  Dia berjalan laju.  Sampai depan aku dia berhenti.  Dia pandang aku sekilas dan kemudian kertas A4 yang aku pegang dia tarik dengan kasar.  Tanpa bercakap apa-apa, dan tanpa memandang aku mahu pun Naani, dia terus berjalan meninggalkan pejabat Ketua Pengarah Eksekutif.

            Naani masuk ke dalam bilik Datin Nuridah.  Agak lama juga.  Aku tidak dapat mendengar inti pati perbualan mereka sebab Naani tutup pintu.  Dada aku berdebar.  Macam mana kalau Datin paksa aku jadi personal assistant Bos 1B3K?   Tidak mengapa, nanti aku akan berterus terang yang sebenarnya aku tidak minat, tidak layak dan tidak sesuai.  Aku berdoa Datin tidak berkenan dengan aku.  Elok saja aku mengaminkan doa, Naani keluar dari bilik Datin dan menyuruh aku masuk.

Aku berikan salam.  Datin menjawab salam sambil tersenyum.  Walaupun bibirnya mengukir senyuman, garis-garis duka terpamer di wajah penuh keibuan Datin Nuridah.  Datin menyuakan tangannya ke arah kerusi di depan.  Datin bertanya khabar mama.  Selepas memberitahunya mama aku sihat, Datin terus beritahu dia mahu aku jadi PA sementara Bos 1B3K.

“Maaf Datin, tapi kan di syarikat ni ada ramai setiausaha yang senior.  Kenapa tak ambil mereka untuk gantikan tempat Azwan?” 

            “Kami dah cuba.  Saya sudah suruh HR tanyakan tapi tak ada seorang pun yang sanggup.  Mereka takut dengan Rifqi.”

Habis tu, aku tak takut?  Aku dengar suara dia pun sudah kecut perut, kalau kena tengking entah macam manalah aku nanti.  Silap-silap boleh terkucil kalau kena tengking.

“Tiba-tiba Azwan cadangkan nama kamu.  Kebetulan masa tu Rafiqa ada.  Dia pun setuju.  Jadi saya nak minta kamu pertimbangkan.  Sebulan saja.  Saya tau ramai kakitangan yang takut dengan Rifqi.  Atas dasar saya kenal mama kamu, dan Iqa pun kenal kamu, saya rasa kamu mampu handle kerenah Rifqi.”

Hah?  Biar betul Datin ni.  Dia ingat layan kerenah Bos 1B3K tu sama macam aku layan kerenah anak-anak Kak Iqa ke?  Tapi, selain daripada kebengkengannya, aku tak tau kerenah Bos 1B3K tu macam mana.

            “Saya akan naikkan gaji Fina dua kali ganda dan gaji tu akan kekal walaupun selepas Azwan balik dan Fina kembali ke Bahagian Akaun.”

            Aku telan air liur.  Alamak lumayan sangat ni.  Lambang $$$ sudah menari-nari depan mata.  Astaghfirullahal adzim.  Jangan jadi mata duitan Fina.  Apa guna dapat gaji besar tapi setiap hari kena herdik dengan si 1B3K tu?  Hati baik aku berbisik. 

            “Eerr, maaf Datin.  Saya tak ada pengalaman buat kerja-kerja PA.  Lagi pun… saya takut dengan…”

            “Tak payah takut.  Saya ada.  Fina akan melapur terus dengan saya.  Uruskan hal-hal saya dan Rifqi.  Kita aturkan aktiviti untuk Rifqi, biar dia banyak buat kerja luar.  Saya nak dia melawat semua resort yang kita ada dan sambung semula projek Kuala Selangor yang terbengkalai.  Masa dia lebih banyak di luar daripada di pejabat.”
 
            Aku pandang Datin.  Mata kami bertembung.  Matanya merenung jauh, seolah-olah menusuk ke dalam kepala aku.  Dia nampak macam sangat yakin dengan aku.

            “Datin, maaf kalau Fina tanya.  Dulu, kenapa Encik Rifqi tinggalkan kerja dan pergi ke Eropah?” 


Soalan ini penting buat aku.  Walaupun aku kenal dengan anak sulung Datin Nuridah yang aku panggil Kak Iqa, aku tidak kenal dengan Bos 1B3K.  Apa yang aku tahu tentang dia adalah berdasarkan apa yang Naani ceritakan kepada aku.  Itu pun tak banyak.

No comments:

Post a Comment